Tengku Hazman Ambil Alih Tugas Mustaffa Kamal


‘SUDAH terhantuk baru terngadah’!.

Itu kesimpulan yang tepat dengan keputusan merehatkan ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Mustaffa Kamal Abd Wahab selepas pasukan bimbingannya tersingkir ke Liga FAM musim depan.

Keputusan untuk merehatkan Mustaffa Kamal sudah dibincangkan sebelum perlawanan terakhir Liga Perdana yang menyaksikan TFC II tewas 1-2 di tangan MIFA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu.

Sumber dalaman TFC II berkata, Mustaffa Kamal sudah diberikan surat untuk berehat sebelum keputusan muktamad mengenai kontraknya akan diputuskan dalam perbincangan antara beliau dengan pihak pengurusan.

Katanya, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) juga bersetuju melantik penolong ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan mengambil alih tugas membimbing pasukan untuk mengharungi Piala Cabaran.

"Ya betul. Mustaffa Kamal kini direhatkan selepas beliau gagal menyelamatkan pasukan kekal beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

"Walaupun keputusan ini sudah terlambat, kita terpaksa akur dan sudah berusaha bagi mengelak pasukan ini bermain dalam Liga FAM musim depan," katanya kepada NSTP Sukan, hari ini.

Kata sumber itu lagi, Tengku Hazman akan memulakan tugas sebagai jurulatih sementara TFC II esok, sambil dibantu barisan kejurulatihan sedia ada sebagai persiapan untuk mengharungi Piala Cabaran yang bermula awal bulan depan.

"Kita juga bercadang membawa masuk seorang jurulatih pengalaman untuk membantu Tengku Hazman bagi menghadapi Piala Cabaran ini dan jika menemui calon sesuai, kita akan mengambilnya," katanya.

Di bawah kendalian Mustaffa Kamal musim ini, TFC II menghuni tangga tercorot liga dengan hanya mengumpul 17 mata hasil empat kemenangan, lima seri, 11 kalah dalam 20 perlawanan. - Harian Metro