Tiada Tempat Bagi Pemain Yang Prestasinya 'Kluk-Klek' - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: "Tiada tempat buat pemain yang tidak mempamerkan mutu persembahan baik serta tidak konsisten untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama," kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau menegaskan demikian selepas begitu kecewa dengan persembahan beberapa pemainnya yang gagal menjalankan tugas dengan berkesan dalam dua perlawanan terakhir bertemu Kedah dan PKNS FC biarpun sudah diberi peluang.

Malah tambah mengecewakan jurulatih berusia 67 tahun itu ada pemainnya begitu mudah melakukan kesilapan ketika rakan sepasukan begitu bersemangat dan berhempas-pulas di tengah padang untuk melakar kemenangan.

"Kami sudah memberi peluang kepada pemain untuk membuktikan di tengah padang bahawa mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan setiap kali diturunkan, namun apa yang berlaku sebaliknya.

"Tapi bukan semua pemain tidak beraksi dengan baik, hanya beberapa saja, namun apa yang boleh saya simpulkan sukar buat pemain terbabit yang tidak memperagakan aksi terbaik untuk kembali beraksi kerana kami perlukan pemain terbaik saja.

"Selain itu kami tegaskan pemain perlu cerdik ketika beraksi dan bukannya bermain mengikut emosi apatah lagi setiap perlawanan penting buat kami untuk menambah koleksi mata dalam misi menghuni tiga tangga teratas liga," kata Irfan.

Skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu mudah diratah skuad PKNS 4-0 di Shah Alam, Sabtu lalu selain seri 1-1 dengan Kedah di Alor Setar, Selasa lalu. - Berita Harian