Jangan Terlalu Mengharapkan Pemain Import - Irfan Bakti

Posted on Saturday, August 11, 2018 | 8/11/2018



KUALA TERENGGANU: Di sebalik persiapan rapi menjelang pertemuan dengan Perak, timbul rasa gusar di hati pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengenai kekuatan pasukannya jika pemain import skuad julukan Peteh Terengganu Peteh itu cedera atau digantung perlawanan.

"Ini yang menggusarkan fikiran kami menjelang pertemuan dengan skuad Perak di Ipoh dan juga pasukan lain dalam kancah Piala Malaysia ini, kerana sikap sesetengah pemain tempatan terlalu bergantung harap dengan tenaga import dalam setiap perlawanan.

"Kesudahannya, jika pemain tonggak itu cedera atau digantung, pemain yang disenaraikan bagaikan tidak berupaya beraksi dengan baik padahal mereka sebenarnya mempunyai kebolehan dan mampu bermain dengan berkesan.

"Sebagai contoh yang berlaku ketika pertemuan dengan Selangor dalam aksi terakhir Liga Super dua minggu lalu yang berkesudahan kami tewas 0-2. Ketika itu, dua pemain import, Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin digantung satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning.

"Walaupun sudah berulang kali kami pesan kepada pemain mengenai perkara itu – supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada pemain import kerana pada bila-bila masa saja mereka boleh cedera atau digantung, namun setakat ini kami belum berpuas hati sepenuhnya.

"Tapi kami tidak akan berputus asa, sebaliknya sentiasa berpesan kepada pemain dan berharap mereka belajar ilmu bola sepak dengan pemain import dan menggunakannya di dalam padang," kata Irfan Bakti.

Mengulas pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus nanti, jurulatih yang membantu skuad Penyu beraksi semula dalam kancah Liga Super selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu menarik nafas lega apabila semua pemain importnya serta tonggak tempatan bebas daripada sebarang kecederaan dan digantung perlawanan.

"Kami tuntut pemain yang bakal diturunkan nanti mampu beraksi dengan baik, berdisiplin serta mampu menyerap tekanan bermain di tempat lawan. Lebih penting, mereka harus memanfaatkan peluang dengan jaringan seperti ketika menumpaskan Kuala Lumpur 5-1 minggu lalu," kata Irfan Bakti. - Berita Harian
Blog, Updated at: 8/11/2018

0 comments: