Mustaffa Kamal Tampil Dedah Perkara Sebenar


KUALA TERENGGANU: Bekas ketua jurulatih Terengganu FC II (TFCII), Mustaffa Kamal Abd Wahab mengakui bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan membimbing pasukan itu hingga tersingkir ke Liga FAM, musim depan.

Mustaffa Kamal tampil menjelaskan perkara sebenar selepas ada dakwaan mengatakan kegagalan TFCII disebabkan campur tangan pengurusan dalam pasukan dalam pemilihan pemain tempatan atau import.

"Saya akan tanggung sepenuhnya kegagalan pasukan TFC II musim ini. Walaupun sudah berusaha sebaik mungkin, namun gagal diselamatkan untuk terus kekal bersaing dalam Liga Perdana.

"Kegagalan pasukan tiada kena mengena dengan campur tangan pengurusan, sebaliknya daripada segi keputusan pemilihan pemain dalam kesebelasan utama, saya yang pilih sendiri.

"Malah, saya mahu berterima kasih kepada pengurusan kerana menghargai kemampuan saya dengan memberi kepercayaan membimbing pasukan TFC II musim ini," katanya yang menghubungi NSTP Sukan, hari ini.

Mustaffa Kamal yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu ditamatkan kontrak selepas pasukan bimbingannya tersingkir ke Liga FAM musim depan.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melantik penolong ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan mengambil alih tugas membimbing pasukan untuk mengharungi Piala Cabaran, minggu depan.

Diminta mengulas Piala Cabaran, Mustaffa Kamal berkata TFC II mampu melepasi peringkat kumpulan A dan mara ke pentas akhir.

"Saya menaruh keyakinan TFC II mampu mara lebih jauh dalam kempen Piala Cabaran ini dan saya mendoakan pasukan mara ke pentas final," katanya. - Berita Harian