Thierry Chanta Bin Optimis Peluang Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Pemain import tunggal dari Kemboja beraksi dalam saingan Liga-M, Thierry Chantha Bin yang menyarung jersi Terengganu FC (TFC) mengakui peluang untuk mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia tetap cerah biarpun dua daripada tiga pasukan dalam Kumpulan A itu pernah menundukkan skuad Penyu dalam kancah Liga Super musim ini.

Malah pemain berusia 27 tahun yang dilahirkan di Perancis dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Les Bleus Bawah 17, berkata sudah bersedia untuk menyerlah dalam saingan Piala Malaysia bagi menebus kehampaan berada dalam kelompok tiga terbaik Liga Super.

"Saya lihat peluang pasukan kami ke suku akhir masih terbuka luas biarpun diundi bersama naib juara Liga Super Perak, Kuala Lumpur dan FELCRA FC kerana bagi saya saingan Piala Malaysia berbeza dengan liga.

"Selain itu semangat kekeluargaan pasukan bakal menjadi aset penting kami untuk melangkah lebih jauh daripada suku akhir," kata Chantha Bin.

Awal musim ini Chantha Bin memiliki tiga sahabat senegara - Chan Vathanaka yang menyarung jersi Pahang, Keo Sokpheng (PKNP FC) dan Mony Udom (Negeri Sembilan), namun pemain antarabangsa Kemboja itu terpaksa 'berpisah' dengan mereka pada pertengahan musim ini kontrak ketiga-tiga pemain berkenaan tidak disambung.

Mengulas lanjut, pemain tengah yang memulakan karier bersama RC Strasbourg dalam Liga Perancis itu bagaimanapun menasihati rakan sepasukan supaya tidak mendabik dada, sebaliknya perlu mengamalkan disiplin tinggi sama ada ketika latihan atau perlawanan.

"Kita pernah menang dan tewas ketika bertemu Perak dan Kuala Lumpur, namun tidak boleh pandang mudah keupayaan naib juara Liga Perdana, FELCRA FC," katanya. - Berita Harian