Irfan Bakti Berang!


KUALA TERENGGANU: Hairan dengan persembahan merosot pemain, ini persoalan yang berlegar di fikiran pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim yang bagaikan tidak percaya melihat aksi lesu pemainnya selepas dimalukan Perak dalam aksi pusingan kedua Kumpulan A, Piala Malaysia, semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, skuad bimbingan Irfan Bakti yang sudah layak ke suku akhir dilihat lebih tertekan dan gagal menyaingi dominasi Perak terutama pada babak pertama perlawanan, biarpun bermain di depan ribuan penyokong setia.

“Pada babak pertama, saya lihat pemain beraksi di bawah paras sebenar, tidak sebagaimana aksi biasa sebelum ini, hanya pada separuh masa kedua saja kita lihat ada sedikit peningkatan untuk memburu jaringan.

“Kita juga sedikit tertekan apabila pemain Perak melakukan tekanan dan asakan bertubi-tubi ke pintu gol sehingga tidak berani hendak pegang bola dan bermain seperti biasa, mereka juga dilihat kurang keyakinan.

“Ini yang menimbulkan kehairanan saya, kenapa mereka gagal beraksi dengan baik padahal beraksi di tempat sendiri. Sepatutnya faktor itu tidak berada dalam otak pemikiran pemain, namun yang berlaku adalah sebaliknya sehingga kita tewas,” kata Irfan Bakti.

Pengendali TFC ini nyata berang dengan persembahan pemainnya yang dilihat tidak konsisten, jauh berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan di awal saingan Piala Malaysia sebelum ini.

Dalam perlawanan yang berkesudahan skuad Penyu tewas 1-2, penyerang sensasi skuad The Bos Gaurus, Gilmar Da Silva muncul wira apabila meledak dua jaringan pada setiap babak, manakala gol tunggal TFC dihasilkan bekas pemenang Kasut Emas 2010, Mohd Ashari Samsudin.

"Aksi cemerlang pemain Perak juga mempengaruhi aksi pemain TFC," kata Irfan Bakti yang mengakui kecewa dengan persembahan pemain biarpun ada sedikit perubahan corak permainan pada babak kedua.

Ketika itu, beliau mengarahkan Ashari dan Kipre Tchetche supaya berani dan agresif serta turun ke bawah untuk mendapatkan bola. - Berita Harian