Tengah 'Pecah Kepala' Fikir Cara Nak Kalahkan TFC - Sathia


KUALA LUMPUR: Jurulatih FELDA United, B Sathianathan mengakui beliau kini sedang ‘pecah kepala’ memikirkan formula terbaik untuk mengalahkan Terengganu FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Ketinggalan 1-2 susulan kekalahan di Jengka minggu lalu, bebanan ditanggung Sathia lebih berat apabila kehilangan ayam tambatannya, Thiago Augusto Fernandes yang masih dibelenggu kecederaan.

Ia ditambah pula dengan kecederaan yang turut melanda dua pemain sayapnya, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Christie Jayaseelan.

“Bagi saya, Terengganu kini mempunyai modal besar kerana selain menang minggu lalu, mereka ada dua jaringan di tempat lawan.

“Untuk layak ke separuh akhir, FELDA perlu mengalahkan mereka sekurang-kurang 2-0 dan ini bukan tugas yang mudah kerana kami akan bermain di gelanggang mereka.

“Kami tidak mempunyai pilihan kecuali menyerang tapi apa yang bermain dalam fikiran saya, tanpa Thiago, siapa yang mampu jaringkan gol untuk kami?” ujar jurulatih itu.

Sathia berkata, walaupun seorang lagi penyerang import, Gilberto Fortunato akan dijadikan sandaran namun kualiti pemain itu tidak setanding Thiago.

“Gilberto pemain yang bagus dan rajin namun tidak memiliki ketajaman seperti Thiago bila berada di depan pintu gol lawan.

“Saya tidak mempunyai pilihan kecuali menurunkan Gilberto mengisi tempat Thiago. Iain Ramsay dan Syamim (Yahya) akan membantunya di barisan serangan selepas Wan Zack dan Christie turut cedera.

“Namun, pada masa sama, saya perlu mencari satu formula baru bagaimana mahu mengalahkan Terengganu, malam ini.” - Berita Harian