Terengganu City Mahu Bawa Pulang Piala FAM 2018


KUALA TERENGGANU: Pengendali skuad Terengganu City FC (TCFC), Mohd Noor Mohd Derus tidak mahu bergantung kepada faktor tuah ataupun nasib dalam misi pertamanya merangkul kejuaraan sebagai ketua jurulatih.

Sebaliknya jurulatih muda yang pernah berguru dengan bekas jurulatih Melaka United (MU), Mat Zan Mat Aris bakal menerapkan strategi lebih 'mujarab’ untuk meraih trofi dalam aksi final Piala FAM bertemu Selangor United malm ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

“Ini aksi final pertama saya sebagai ketua jurulatih dan sudah pasti saya mahu merakam kenangan paling indah dalam karier bersama TCFC dengan merangkul kejuaraan piala itu.

“Selain itu saya juga mahu mencipta sejarah buat TCFC kerana hanya selangkah saja lagi untuk bergelar juara biarpun sedar pasukan lawan bimbingan jurulatih Talib Sulaiman pasti mengidam perkara sama,” kata Md Noor.

TCFC yang diletakkan dalam Kumpulan B beraksi cemerlang dengan hanya tewas sekali sebelum melangkah bergaya ke peringkat separuh akhir bertemu KL MOF FC dan mara ke final dengan agregat 2-2 berdasarkan jaringan di tempat lawan.

Mengulas mengenai persiapan pasukannya menjelang perlawanan akhir, bekas penolong jurulatih MU itu tidak meletakkan skuadnya sebagai pasukan pilihan sebaliknya lebih selesa dengan status 'underdog’.

“Sasaran kita selepas layak ke separuh akhir adalah untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan dan akhirnya impian itu sudah terlaksana secara automatik selepas layak ke final, tapi kini kita berada di landasan yang tepat untuk merangkul kejuaraan,” kata Mohd Noor. - Berita Harian