Terengganu FC II Perlu Waspada Bedilan ATM

Posted on Friday, September 21, 2018 | 9/21/2018



KUALA TERENGGANU: Pemain skuad Terengganu FC II (TFC II) diingatkan supaya jangan sesekali mempunyai mentaliti menggangap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pasukan yang mudah apabila dijadual bertemu dalam aksi separuh akhir Piala Cabaran, minggu depan.

Pengendali sementara TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan menegaskan, ni kerana semua pasukan yang layak ke pentas separuh akhir sudah membuktikan kemampuan mereka dan jelas lebih baik berbanding pasukan lain yang sudah pun tersingkir.

Jadi, Tengku Hazman tidak mahu pemain TFC II bersikap ambil mudah dengan memperlekehkan kemampuan ATM yang beraksi dalam Liga FAM, pada musim ini.

Katanya, sekalipun ATM tampil tanpa pemain import, namun mereka sudah memberi amaran awal dengan layak ke separuh akhir dengan mengetepikan dua pasukan Liga Perdana, UiTM FC dan Pulau Pinang dalam kumpulan B.

"Bagi saya, apabila sesebuah pasukan sudah berjaya ke separuh akhir, aura mereka sudah bertukar dan sudah pasti turun dengan semangat juang tinggi.

"Jadi, saya tidak melihat TFC II mampu mengharungi aksi separuh akhir dengan mudah kerana percaya ATM akan memberi tentangan sengit untuk layak ke final," katanya.

Pengendali kelahiran Kelantan berusia 41 tahun itu berkata, dia akan melakukan persiapan yang cukup rapi bagi memastikan pasukannya tidak ditunjuk jalan keluar ATM untuk layak ke pentas akhir.

Bekas pemain kebangsaan itu juga berharap akan dapat membariskan kesebelasan impian dalam separuh akhir nanti, selain mahu memastikan pemainnya dapat mengekalkan rekod bersih dalam kejohanan julung kali dianjurkan musim ini.

"Sejak saya mengambil alih membimbing pasukan ini, saya masih belum dapat membariskan kesebelasan harapan kerana masalah kecederaan. Tetapi, apa yang membanggakan pasukan ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan ini.

"Saya bagi kredit kepada pemain kerana berjaya melepasi sasaran layak ke separuh akhir dan misi seterusnya ialah mara ke perlawanan akhir," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 9/21/2018

0 comments: