Terengganu FC Tetap Mahu Buru Kemenangan


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tegas beliau tidak akan memberi laluan mudah kepada skuad Perak, sebaliknya mahukan skuad itu 'menangis' biarpun pasukannya sudah berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, beliau bakal menerapkan strategi lebih 'mujarab' bagi misi mengekalkan rekod tanpa kalah peringkat Kumpulan A dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

"Saya sudah ingatkan pemain supaya kekalkan momentum dan beraksi seperti biasa iaitu memperagakan aksi terbaik serta tidak mengambil mudah dalam perlawanan itu kerana kami mahu kekalkan rekod tanpa tewas walaupun sudah mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

"Kemenangan itu nanti bukan hanya bakal menyuntik semangat pemain bertemu Kuala Lumpur dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, tetapi juga mencerahkan peluang untuk muncul juara peringkat kumpulan," kata Irfan Bakti.

Dalam aksi pusingan pertama peringkat kumpulan saingan piala berprestij itu di Stadium Perak, skuad Penyu berjaya menjinakkan pasukan The Bos Gaurus dengan kemenangan 4-3, manakala dalam saingan Liga Super musim ini skuad TFC tewas 2-3 di Ipoh dan menang 2-0 di laman sendiri.

Skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu kini mendahului kumpulan dengan mengutip 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri, manakala skuad The Bos Gaurus di tempat kedua dengan tujuh mata, Kuala Lumpur ketiga dengan tiga mata, manakala FELCRA FC di tangga tercorot dengan dua mata.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu menarik nafas lega kerana semua pemain tonggaknya bebas daripada sebarang kecederaan ataupun digantung perlawanan.

"Saya harap pemain tengah yang diketuai Lee Tuck mampu memainkan peranannya sebagaimana sebelum ini, manakala jentera serangan diketuai kapten, Kipre Tchetche harus lebih bijak memburu jaringan.

"Barisan pertahanan juga dituntut bekerja lebih keras bagi menyekat jentera serangan mereka daripada bergerak bebas kerana skuad itu pasti hadir dengan misi wajib menang," katanya. - Berita Harian