Faiz Nasir Layak Beraksi Untuk Harimau Malaya


Pemain sayap Terengganu FC, Faiz Nasir menampilkan satu prestasi yang cemerlang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 Sabtu lalu. Meskipun Terengganu FC tidak muncul sebagai juara, namun persembahan Faiz mendapat pujian dari ramai pihak.

Prestasi cemerlang Faiz ini sekaligus membuatkan rata-rata peminat bola sepak tanah air mahukan beliau untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan bermula pada 8 November ini.

Namun, nama pemain yang digelar “Messi Ganu” ini tiada dalam senarai 26 pemain yang dipanggil Tan Cheng Hoe sebelum ini untuk menyertai kem latihan pusat menjelang perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan Maldives pada 3 November nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika kita melihat kepada perlawanan akhir Sabtu lalu, Faiz telah memberikan segala-galanya buat Terengganu FC dimana larian pantas serta gelecekan bola beliau seringkali menyusahkan benteng pertahanan Perak untuk mengawal beliau.

Faiz juga hampir menjadi wira pasukan dimana beliau menjaringkan gol ketiga Terengganu FC sebelum rakan sepasukan, Igor Zonjic tertampan bola ke gawang sendiri.

Kalau nak diikutkan, ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe masih lagi mempunyai masa untuk memanggil Faiz bagi menyertai kem latihan pusat sekaligus memberikan peluang kepada beliau beraksi pada perlawanan menentang Maldives.

Dengan kehadiran Faiz Nasir, maka posisi sayap negara akan mempunyai empat speed demon dan perkara ini sudah pasti akan memberikan kelebihan buat pasukan. Persaingan sihat dikalangan Faiz, Akhyar, Safawi dan Sumareh bakal menguntungkan pasukan negara kerana ada pemain yang setiasa bersedia dan mampu untuk menampilkan permainan cemerlang.

Sudah 8 tahun berlalu sejak Malaysia memenangi trofi Piala AFF Suzuki. Jadi, untuk memenangi edisi tahun ini, Tan Cheng Hoe perlu membawa pemain terbaik beliau bagi membawa cabaran Harimau Malaya menghadapi pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Penulis berpendapat Faiz Nasir adalah pemain terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini dan beliau wajar diberikan peluang untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. - inikanbola.my