Manfaatkan Kelebihan, Baiki Kekurangan

Posted on Wednesday, October 10, 2018 | 10/10/2018



KUALA TERENGGANU: Selepas tiga kali terkandas di pentas separuh akhir Piala Malaysia, pemain serba boleh Terengganu FC (TFC), Abdul Latiff Suhaimi mengharapkan dia dan pasukannya lebih bertuah bagi mengharungi edisi kali ini.

Dia tidak sanggup untuk sekali lagi mengharungi episod kecundang di peringkat kelompok empat terbaik, menjelang pertembungan pusingan kedua menentang Johor Darul Ta`zim (JDT), 20 Oktober ini.

“Saya harap separuh akhir kali ini akan memberi tuah kepada saya dan pasukan dalam misi meraih gelaran pertama peribadi merangkul piala berprestij itu,” kata Abdul Latiff.

Skuad Penyu yang mempunyai bekalan tipis hasil kemenangan 1-0 jaringan Abdul Malik Mat Ariff dalam separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 6 Oktober lalu, bakal berdepan laluan berduri di pusingan kedua bertemu JDT.

Pada aksi pertama, bekas pemain kebangsaan itu yang mengisi posisi pertahanan milik Nasrullah Hanif Johan yang digantung satu perlawanan kerana menerima dua kad kuning beraksi cemerlang dan mendapat pujian ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Mengulas lanjut, bekas pemain Kedah, T-Team, FELDA United dan PDRM itu berkata, jika diturunkan sekali lagi dalam pertemuan kedua itu, dia mahu membuktikan kelibatnya masih berbisa dan mampu memberi impak besar kepada pasukan.

Sebelum ini, dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan kerana posisi asalnya di bahagian tengah kini dihuni dua pemain import iaitu Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin.

“Jika diberi kepercayaan, saya akan mempamerkan aksi terbaik, memperbaiki kelemahan yang ada bagi memastikan saya tidak kempunan lagi untuk ke final,” kata pemain berasal dari Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu Kelantan itu.

Berdasarkan rekod, anak keenam daripada sembilan beradik itu yang kini berusia 29 tahun gagal membantu FELDA United mara ke final Piala Malaysia pada 2014 dan 2015, serta PDRM pada 2016 selepas terkandas di separuh akhir.

“Saya harap episod malang itu akan berakhir pada kali ini dan saya yakin Irfan Bakti pasti mempunyai strategi lebih ampuh untuk berdepan dengan JDT nanti,” katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 10/10/2018

0 comments:

Loading...