Masih Berbaki 8,000 Tiket Perlawanan TFC Dengan JDT


KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10,000 keping tiket akan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk Stadium, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,000 keping tiket akan dijual secara dalam talian melalui aplikasi Stubapp. (Habis dijual)

“Manakala 8,000 keping tiket lagi akan dijual hingga habis pada Sabtu ini iaitu dari jam 10.30 pagi di semua kaunter tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Had pembelian setiap orang hanya dibenarkan sebanyak tiga keping tiket dan harga bagi sekeping tiket tempat duduk berbumbung ditetapkan RM20, tempat duduk terbuka RM10 manakala kanak-kanak RM5.

“Pintu stadium akan dibuka bermula jam 6.30 petang dan PBSNT akan menyediakan tempat solat Maghrib di belakang gawang gol pintu F hingga jam 8 malam untuk kemudahan peminat,” katanya.

“Kami mengeluarkan tiket sebanyak itu berdasarkan jumlah tempat duduk dalam stadium. Kami harap urusan penjualan tiket berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Kami juga berharap tidak ada sesiapa mengambil kesempatan menjual semula tiket yang dibeli dengan harga selain tertera di tiket itu bagi mengelak ada yang teraniaya,” katanya. - Berita Harian