Terengganu FC Atur Perlawanan Persahabatan Dengan Kelab India

Posted on Tuesday, October 09, 2018 | 10/09/2018



Terengganu FC (TFC) mempunyai tempoh 14 hari untuk memperkemas corak permainan menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) -- salah satu usaha TFC adalah mengatur perlawanan persahabatan dengan kelab dari India.

TFC berjaya menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri apabila menang tipis 1-0 hasil jaringan Abdul Malik Arif, pada separuh akhir pertama.

Namun, ia belum cukup selesa mengambil kira faktor JDT yang mempunyai rekod baik di Larkin.

Justeru, sebagai persiapan rapi menghadapi Harimau Selatan itu di Larkin, pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, mengharapkan perlawanan persahabatan menentang sebuah pasukan dari Kolkatta, India mampu untuk mempertajamkan lagi jentera serangan.

Jika TFC berjaya mengekalkan kedudukan ataupun mengatasi JDT dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia, mereka bakal menamatkan penantian tujuh tahun beraksi di pentas final, di mana kali terakhir mereka melakukannya pada 2011.

"Kami masih berbaki 14 hari untuk membuat persiapan aksi seterusnya dan terdapat beberapa yang perkara bakal diaturkan antara aksi persahabatan berdepan kelab dari India," kata Irfan.

Di kem JDT, pengurus pasukan, Luciano Figueroa, terkejut apabila barisan pemainnya gagal memenangi perlawanan itu biarpun disajikan banyak peluang.

Namun, sebagai penyandang juara, mereka tidak panik, malah yakin mampu untuk mengatasi defisit jaringan apabila bakal bertemu semula di Larkin, 20 Oktober ini.

"Saya tidak suka untuk kalah, tiada sesiapa mahukan keputusan ini. Tetapi saya yakin JDT mampu meraih kemenangan di Larkin sekaligus mara ke final," katanya. - Arena
Blog, Updated at: 10/09/2018

0 comments:

Loading...