Terengganu FC Cari Gol Awal, Tak Akan Parking Bas

Posted on Saturday, October 20, 2018 | 10/20/2018



Jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap kejayaan menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos tiga tahun lalu sebagai motivasi buatnya untuk membantu skuad Peteh mengakhiri penantian mara ke pentas final Piala Malaysia sejak 2011.

Irfan merupakan antara jurulatih yang pernah mencipta kemenangan di Larkin ketika membimbing Felda United dalam aksi suku akhir Piala Malaysia pada November 2015.

Musim ini, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, dan jurulatih MISC-MIFA, K. Devan, berjaya melakukannya dan secara tidak langsung menjadi pemangkin buat Irfan untuk menjinakkan Harimau Selatan di gelanggang keramat mereka.

"Ia motivasi buat saya.

"Saya sentiasa berpesan kepada barisan anak buah bahawa Pahang, MIFA telah mencipta kemenangan di sini manakala saya pernah membawa Felda mencapai kemenangan di Larkin.

"Ini bermakna, tidak mustahil kami boleh melakukannya di sini," katanya yang menyaksikan Terengganu hadir dengan kelebihan jaringan tunggal Abdul Malik Ariff dalam pertemuan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, dua minggu lalu.

Skuad Peteh dijangka akan mengekalkan barisan hampir sama, lebih-lebih lagi pasukan itu bebas daripada penggantungan dan kecederaan.

Justeru, beliau enggan anak buahnya menampilkan corak bertahan sambil mengharapkan gandingan Tchetche Kipre dan Ashari Samsudin merobek gawang lawan.

"Saya meminta pemain supaya lebih fokus, usah ada perasaan gentar.

"Jangan bermain secara bertahan, kami perlu mendapatkan gol," katanya.  - Arena
Blog, Updated at: 10/20/2018

0 comments: