Thierry Chanta Bin Enggan Menabik Dada


KUALA TERENGGANU: Nama pemain import Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin tidaklah sepopular rakan seposisi di bahagian tengah, Lee Tuck mahupun penyerang, Kipre Tchetche.

Malah pemain kebangsaan Kemboja yang dilahirkan di Perancis itu juga tidak menjadi 'kegilaan' penyokong kerana mungkin posisinya pemain tengah bertahan.

Tetapi aspek ketinggiannya antara aset penting buat TFC dalam setiap perlawanan kerana keupayaannya yang bijak membaca gerakan dan mengekang pemain lawan daripada bermaharajalela.

Buktinya pada aksi separuh akhir kedua bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada Sabtu lalu, kelibat bekas pemain kebangsaan skuad Les Bleus bawah 17 tahun itu harus dipuji kerana berjaya menjadi watak penting menyingkirkan juara bertahan Piala Malaysia itu dengan agregat 3-2.

Bagaimanapun pemain yang memulakan kariernya bersama kelab RC Strasbourg di Perancis enggan mendabik dada, malah dia juga tidak selesa dipuji kerana apa yang lebih penting baginya adalah untuk memperagakan aksi terbaik selain kerjasama rakan sepasukan apabila berada di dalam padang.

"Setiap pemain mempunyai keistimewaan masing-masing, cuma perlu berusaha lebih keras lagi terutama ketika sesi latihan dan buktikan apabila mendapat peluang disenaraikan dalam kesebelasan pasukan.

"Justeru untuk final Sabtu ini bertemu Perak, selain membantu pasukan memenangi gelaran piala berprestij itu buat kali kedua dalam sejarah skuad TFC, saya juga memasang impian mahu mencipta sejarah peribadi lebih-lebih lagi ini musim pertama saya bermain dalam Liga Malaysia serta belum pernah lagi menggengam sebarang trofi.”

"Saya juga mahu hadiahkan kemenangan kepada isteri tercinta, Kate Sutherland yang banyak berkorban walaupun terpaksa berhijrah dari Kanada selain anak pertama yang bakal lahir pada April tahun depan serta saya juga sudah jatuh hati dengan Terengganu terutama penyokong yang baik serta masakannya sedap termasuk keropok lekor.

"Saya percaya rakan sepasukan mempunyai keazaman yang sama berjuang habis-habisan hingga minit terakhir perlawanan sebagaimana ketika bertemu JDT tempoh hari apabila berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan," kata Chantha Bin. - Berita Harian