Bekas Pemain Felda Pengganti Faiz, Partiban & Latiff - Irfan Bakti


Jurulatih Terengganu FC (TCF), Irfan Bakti Abu Salim, mendedahkan beliau telah mencuba sedaya-upaya untuk mengekalkan khidmat Faiz Nasir, namun akur keputusan yang dilakukan pemain tengah itu bagi mencari haluan baru musim depan.

Menurut Irfan, Faiz adalah antara pemain yang diberikan sambungan kontrak selain J. Partiban dan Abdul Latiff Suhaimi.

Namun, Faiz yang kini dikaitkan dengan Melaka United, menolak tawaran yang diberikan dan Irfan tiada pilihan selain menghormati keputusan itu.

Justeru, dia sudah mendapatkan khidmat dua bekas pemain Felda United, Ahmad Syamim Yahya dan Khairu Azrin Khazali, sebagai pengganti Faiz serta Partiban.

"Faiz sangat menyerlah tahun ini dan banyak pasukan mahukan khidmatnya.

"Selain itu, dua pemain lain turut menolak tawaran untuk kekal bersama kami," katanya.

Mengenai musim depan, Irfan berazam untuk menamatkan monopoli Johor Darul Ta'zim (JDT) selama lima musim dalam saingan Liga Super.

Walaupun dengan peruntukan sedikit rendah bagi 2019, Irfan percaya itu bukan halangan bagi pembentukan skuad yang lebih mantap.

"Setiap pasukan pasti mahu menandingi JDT.

"Mereka melakukan sesuatu yang mustahil untuk muncul juara liga selama lima musim berturut-turut.

"Saya mahu meningkatkan pasukan saya agar dapat menandingi JDT kerana rekod lima tahun mereka begitu sukar untuk diatasi," tambahnya. - Arena