Dua Kelab Besar Thailand Minat Dengan Thierry Chanta Bin


Pemain tengah pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) Thierry Chantha Bin mengakui menerima panggilan daripada dua buah kelab besar dalam saingan Toyota Liga Thai 1 berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Perkara tersebut dilaporkan oleh laman sesawang Cambodian National Competitions Committee (CNCC) semalam. Pada masa yang sama, rundingan bersama pasukan naib juara Piala Malaysia 2018 juga sedang berjalan.

“Ada dua kelab besar daripada Liga Thai 1, tetapi saya tidak memberitahu kepada mereka apa-apa lagi dan saya tak mahu mendedahkan nama kelab tersebut. Ejen saya sedang berunding dengan Terengganu untuk kontrak baharu, dan ada peluang cerah tentangnya. Tanpa kontrak di Malaysia, saya akan memikirkan kelab lain.” katanya seperti dilaporkan oleh CNCC.

Jelasnya, jika beliau tidak dapat menyambung kontrak di Malaysia, Thierry Bin akan mencari kelab-kelab lain dan menafikan akan pulang ke kelab di Kemboja. Ini kerana, tahap kompetetif liga luar Kemboja mampu memberikan kebaikan kepada skuad Angkor Warriors.

Bekas pemain skuad Perancis bawah 17 tahun ini memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak professional Phnom Penh Crown sekitar tahun 2012 sebelum berhijrah ke kelab Liga Thai 2, FC Krabi pada tahun 2017.

Awal musim 2018, pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti memancing pemain tengah skuad kebangsaan Kemboja ini untuk mengisi kuota pemain import ASEAN buat pasukan pantai timur tersebut.

Beliau berjaya menampilkan aksi memberangsangkan sepanjang musim ini dan membantu Terengganu FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018. - Foxsports