Kompaun RM250, Dilelong Jika Biar Ternakan Berkeliaran


KUALA TERENGGANU - Pemilik haiwan yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa pengawasan di jalan raya atau tempat awam berdepan kompaun sebanyak RM250.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ternakan yang tidak dituntut juga akan dilelong secara terbuka sekiranya melepasi tempoh antara tujuh hingga 14 hari selepas ditangkap.

Menurut beliau, sepanjang operasi antara Januari hingga November ini, sebanyak 112 ekor lembu, kambing (141 ekor), kambing biri-biri (10 ekor) dan seekor kerbau telah ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

"Pemilik yang mengabaikan ternakan mereka bukan sahaja dikompaun malah turut dikenakan kos tebus serta caj tambahan sebanyak RM10 (seekor haiwan) setiap hari.

"Masalah haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran bukan lah perkara baharu namun ia berlaku secara berterusan berikutan sikap sesetengah individu yang tidak mematuhi peraturan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik).

Jelas Alias, kompaun yang dikenakan ke atas pemilik ternakan berbeza mengikut jenis haiwan iaitu RM250 bagi seekor lembu, RM100 (kambing) dan RM50 (anak kambing). - K! ONLINE