Mahu Gilap Pemain Muda, Irfan Tolak 3 Pemain Ternama Dari Utara

Posted on Sunday, November 25, 2018 | 11/25/2018



Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, yakin kehadiran pemain muda dalam skuad bimbingannya mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa tonggak musim ini.

Menurutnya, negeri itu memiliki ramai pemain berpotensi tetapi gagal dikesan selain tidak diberi peluang beraksi dan situasi tersebut akan berubah bermula 2019.

Jurulatih berpengalaman itu berkata demikian selepas ditanya peranan yang bakal dimainkan Muhammad Azalinullah Alias, Muhammad Mohd Fauzi, Mohd Shahrin Sapien, Mohamad Shafawi Mohamad serta Mohd Haidhir Suhaini yang diperkenalkan, baru-baru ini.

Pemain-pemain muda berkenaan bakal menyarung jersi TFC tatkala Sang Penyu kehilangan pemain utama seperti Abdul Latif Suhaimi, J. Partiban dan Mohd Faiz Nasir.

"Terengganu ada ramai pemain muda yang baik tapi kita tak nampak. Jadi, sekarang saya akan bangun dan tingkatkan prestasi mereka.

"Contohnya Azalinullah, seorang pemain yang bagus. Struktur latihan serta kaedah sama akan digunakan. Sebelum ini pun tiada siapa kenal Faiz," jelasnya.

Sementara itu, Irfan mengakui tiga pemain ternama dari utara semenanjung menyatakan minat menyertai pasukan bimbingannya, namun dia terpaksa menolak atas faktor harga serta usia.

Hanya seorang lagi pemain import Asia yang dijangka tiba pertengahan bulan depan bagi melengkapkan barisan pemain TFC menghadapi Liga Malaysia 2019.

"Dah cukup dah (kemasukan pemain) dengan dua pemain di setiap posisi. Saya mengharapkan komitmen tinggi daripada semua ahli TFC musim 2019.

"Tak kisah dari mana asal mereka, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," tambah Irfan lagi. - Arena
Blog, Updated at: 11/25/2018

0 comments: