Pemain Import Dari Asia Tengah Tiba Bulan Depan


KUALA TERENGGANU: Pemain negara Asia Tengah menjadi buruan terakhir skuad Terengganu FC (TFC) dalam misi memperkuatkan pasukan menghadapi musim baharu 2019.

Sebelum ini skuad Penyu mengekalkan tonggak import musim ini iaitu Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin.

Ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pemain kuota Asia yang bakal beraksi di posisi tengah itu dijangka tiba pertengahan bulan depan kerana masih mempunyai kontrak bersama pasukan lamanya.

"Kita sudah berunding dengan pemain itu yang belum pernah bermain dalam Liga Malaysia (Liga M), tetapi buat masa ini nama pemain itu tidak boleh diumum lagi kerana masih terikat dengan pasukannya.:

"Jika semua berjalan lancar pemain yang menggantikan tempat Do Dong Hyun yang tidak disambung kontrak akan diumumkan pada pertengahan Disember ini," kata Irfan Bakti ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak 10 pemain baharu skuad Penyu itu di pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) petang semalam.

Sepuluh pemain baharu berkenaan ialah Ahmad Shamim Yahaya, Muhamad Khairu Azrin Khazali, Ilham Amirullah Razali, Khairul Anwar Shahruddin, Mohd Khairul Izuan Rosli, Azalinullah Mohd Alias, Haidir Suhaini, Shahrin Sapein dan Muhammad Mohd Fauzi selain penjaga gol skuad Piala Presiden negeri, Shafawi Mohamad.

Pemain sedia ada yang dikekalkan ialah pemain pertahanan Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri, Adib Aizuddin Ab Latif, Hasnizaidi Jamian, Nasrullah Haniff Johan, Mohd Radhi Mohd Yusof dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Turut dikekalkan penyerang berpengalaman, Mohd Ashari Shamsudin selain penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh dan Mohd Suffian Abdul Rahman serta pemain tengah Mohd Shahrul Aizad Zulkufli dan Abdul Malik Mat Ariff.




Semalam, Sepuluh muka baharu adalah antara 25 pemain yang dirantai naib juara Piala Malaysia musim ini, Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bagaimanapun tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar dan bekas pemain FELDA United, Hadin Azman yang sebelum ini dikatakan berada dalam radar skuad Penyu tidak disenaraikan.

Turut tidak berada dalam senarai Faiz Nasir dan Latiff Suhaimi yang sebelum ini dikhabarkan mahu membuat pusingan U.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata, kehadiran 10 pemain baharu itu dilihat mampu memberi impak positif kepada pasukan yang menyasarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC musim 2020 selain meraih sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim depan.

“Cabaran TFC musim depan dijangka lebih mencabar kerana prestasi musim ini begitu memberangsangkan sesudah merangkul naib juara Piala Malaysia.

“Bagi meningkatkan prestasi pasukan, kerjasama dan komitmen tinggi daripada pemain selain jurulatih ditagih bagi memastikan KPI (petunjuk prestasi utama) dicapai,” ujar Hishamuddin pada majlis menandatangani kontrak pemain baharu skuad TFC di pejabat PBSNT yang turut dihadiri jurulatih Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, 10 muka baharu berjaya disambar skuad Penyu itu termasuk bekas pemain tengah FELDA United, Shamim Yahaya dan Khairu Azrin Khazali serta tiga bekas pemain Negeri Sembilan iaitu penjaga gol, Ilham Amirullah Razali, pertahanan Khairul Anwar Shahruddin dan penyerang Khairul Izuan Rosli.

Tonggak import musim ini iaitu penyerang Kipre Tchetche, pemain tengah Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin serta pertahanan Igor Zonjic antara pemain yang dikekalkan musim depan. - Berita Harian