Shukur Jusoh Resah Kenang Nasib

Posted on Sunday, November 18, 2018 | 11/18/2018



KUALA TERENGGANU: Bekas pemain kebangsaan, Abdul Shukur Jusoh runsing memikirkan kariernya musim depan selepas belum lagi 'dirisik' mana-mana pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Pemain berusia 29 tahun kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, walaupun terlalu awal untuk bercakap isu itu, lebih-lebih lagi ‘cuti’ Liga M masih panjang tetapi demi periuk nasinya perkara itu perlu dilihat lebih serius.

Bekas arkitek skuad Terengganu FC II (TFC II) itu juga bimbang bakal jadi 'penganggur' seandainya perkara itu tidak dirancang sebaik mungkin ketika lambakan pemain mewarnai pentas Liga M.

"Setakat ini belum ada lagi pasukan menawarkan tempat kepada saya sebagai pemain, biarpun liga masih panjang, tapi terdetik juga rasa risau memikirkannya.

"Biasanya selepas tamat saingan liga, beberapa tawaran sudah saya terima, namun kali ini sedikit berbeza.”

“Tapi saya yakin rezeki akan tiba hanya tunggu masa dan ketikanya," kata Shukur yang memulakan kariernya bersama pasukan Harimau Muda.

Musim ini prestasi bekas pemain Terengganu, Selangor, ATM dan FELDA United itu sedikit tenggelam sehingga dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

"Itu cerita musim ini, tapi musim depan saya berazam akan berusaha lebih gigih lagi untuk memperbaiki mutu permainan sebenar yang saya akui sedikit longgar musim ini," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 11/18/2018

0 comments:

Loading...