Impian Lee Tuck Diketahui Bulan Depan - FAM


KUALA LUMPUR: Impian pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa skuad kebangsaan bulan depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kesediaan tonggak tengah Terengganu FC (TFC) itu untuk memperkuatkan pasukan amat dialu-alukan dan beliau menyifatkan kehadiran Tuck mampu memantapkan lagi skuad negara.

“Status Lee berbeza dengan Mohamadou Sumareh (pemain naturalisasi pertama negara). Lee ada pertalian darah dengan Malaysia jadi kalau ikutkan prosesnya lebih mudah.

“Kedudukannya sama seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Kiko Insa dan lain-lain yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan negara ini.

“Ia hanya terpulang kepada Lee saja sama ada nak main atau tidak. Tapi dengan kenyataannya di media baru-baru ini, jelas dia amat berminat nak bermain dengan pasukan kebangsaan.

“Jadi kami akan bincangkan hal itu pada mesyuarat akan datang. Apa pun kami kena tunggu mesyuarat itu dulu dan mengambil pandangan semua pihak sebelum memanggilnya,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Tuck, 30, sebelum ini mengakui bersedia untuk beraksi dengan Harimau Malaya dan berharap FAM akan menyenaraikan namanya dalam tugasan antarabangsa selepas ini.

Pemain yang mula menyarung jersi Negeri Sembilan musim lalu sebelum menyertai skuad TFC musim ini bukan hanya bijak mengemudi jentera tengah tetapi juga berupaya meledak gol.

“Kalau tanya pandangan saya, dia ada potensi cukup besar untuk membantu pasukan negara. Malah, memang menjadi agenda FAM untuk memantapkan skuad negara dan jika kehadirannya mampu memperkukuhkan kekuatan pasukan, apa salahnya,” kata Yusoff. - Berita Harian