Sumareh Buat Lee Tuck Panas!


KUALA LUMPUR: Penampilan pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh bersama Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF yang berakhir baru-baru ini membuatkan Lee Tuck tidak senang duduk.

Tuck pemain kelahiran England mengakui dia kini teruja untuk menyarung jersi kebangsaan andai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu mendaftarkannya sebagai pemain tempatan.

“Ya saya berminat untuk mewakili Malaysia. satu penghormatan besar jika saya dapat menyarung jersi Harimau Malaya tapi semua bergantung kepada keputusan FAM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nama Tuck menjadi sebutan peminat tempatan apabila Sukan NSTP melaporkan dia berada dalam senarai pemain asing berpotensi untuk mewakili Malaysia.

Pemain tengah itu mula beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dengan mewakili Negeri Sembila pada 2016 selama semusim sebelum menyertai Terengganu.

Dia tidak berdepan banyak masalah untuk mendapat taraf kerakyatan dan didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana memiliki pertalian darah apabila neneknya berasal dari Malaysia.

Tuck yang pernah beraksi dengan kelab Bangkok FC dan Nakhon Ratchasima di Thailand, mengakui bersemangat selepas melihat aksi Sumareh dan sokongan padu penyokong Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2018.

“Saya pasti akan menerima tawaran (FAM) seperti Sumareh. Dia beraksi baik bersama skuad kebangsaan dan ia pasti sesuatu yang menarik jika saya dapat mengikut jejak langkahnya,” katanya.

Selain Tuck, beberapa pemain kacukan sudah mewakili negara sebelum ini seperti Matthew Davies, Natxo Insa, Kiko Insa, Brendan Gan dan Junior Eldstal. - Berita Harian