"Bentong" Impikan Kesebelasan Utama Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Aura juara yang dimiliki Terengganu FC (TFC) menjadi faktor penarik bekas pemain Negeri Sembilan, Khairul Anwar Shahrudin memilih skuad dari Pantai Timur itu sebagai destinasinya musim ini.

Malah, pemain pertahanan yang lebih mesra dipanggil 'Bentong' itu menyatakan, pengalaman yang dimiliki ketua jurulatih skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim juga membuatkan dia 'jatuh hati' untuk menyarung jersi TFC.

"Ada beberapa pasukan 'merisik' termasuk Melaka United (MU), tetapi saya lebih berminat untuk datang ke Terengganu disebabkan pasukan itu mempunyai aura sebagai juara dan pengurusannya juga terbaik.

"Saya memang suka bekerjasama dengan ramai jurulatih termasuk Irfan Bakti kerana mahu kutip seberapa banyak ilmu mereka. Bukan hanya sebagai pemain, tetapi mungkin sebagai jurulatih selepas bersara nanti," kata Khairul.

Sebelum menyarung jersi skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh musim ini, pemain berusia 28 tahun yang memulakan kariernya bersama MP Muar itu adalah tonggak utama skuad Hobin Jang Hobin selama tiga musim.

Musim ini, pemain berketinggian 1.72 meter itu bakal bersaing dengan pemain sedia ada dalam skuad TFC, terutama Adib Aizuddin Abd Latif di posisi pertahanan kiri.

"Secara peribadi saya mengimpikan tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya akan berusaha lebih gigih merebut tempat, namun sama ada saya berada dalam kesebelasan utama atau tidak, itu saya serahkan kepada jurulatih," kata Khairul yang memulakan karier sejak 2011. - Berita Harian