FAM Bagi Lampu Hijau Kepada Lee Tuck

Posted on Tuesday, January 22, 2019 | 1/22/2019



KUALA LUMPUR: Tonggak Terengganu FC, Lee Tuck dilihat berada di landasan tepat untuk bergelar pemain Malaysia apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan sedia merealisasikan impian itu sekiranya pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu melepaskan pasport yang dipegangnya ketika ini.

Hasrat untuk melihat Tuck bergelar pemain Harimau Malaya bukan mustahil kerana ia tidak terikat dengan mana-mana syarat seperti usaha mendapatkan pemain naturalisasi seperti kes Mohamadou Sumareh.

Khabar gembira itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menegaskan badan induk itu tiada hak untuk memaksa mana-mana pemain melepaskan kerakyatan sedia ada kecuali dengan keinginan pemain itu sendiri.

“Bagi kes Lee Tuck senang sikit kerana dia adalah pemain warisan. Kalau dia nak, dia kena serah pasport dan ambil pasport Malaysia. Kami bukan pengurus Lee Tuck. Nak jadi rakyat Malaysia adalah keputusan dia.

“Macam kes Sumareh, bukan FAM tukar status dia tapi Pahang yang buat dan mereka panjangkan kepada kami,” katanya.

Menurut laporan, Tuck dikatakan sedang menunggu berita gembira daripada FAM untuk mendaftarkannya sebagai pemain tempatan dan bertegas tidak akan berubah fikiran untuk bergelar pemain Malaysia.

Pemain berusia 31 tahun itu akan terus menanti ‘lampu hijau’ daripada FAM sekiranya masih berminat untuk mengambilnya sebagai pemain Harimau Malaya.

Jika berjaya, Tuck akan menyusuli langkah beberapa nama pemain warisan seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies ( Pahang), Kiko Insa dan Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim).

Mengulas khabar angin untuk menaturalisasikan Liridon Krasniqi, Stuart berkata, semuanya terserah kepada pasukan yang diwakilinya untuk memulakan usaha ke arah menukar status kerakyatan.

“Liridon memang tersenarai dan Tan Cheng Hoe memang sudah kenal Liridon. Apa pun kami kena tanya dan terpulang kepada jurulatih dulu.

“Untuk jadikan pemain naturalisasi bukan keputusan FAM tapi keputusan pasukan yang ambil dia. Kami tiada kuasa nak jadikan mana-mana pemain sebagai naturalisasi dan pasukan yang diwakili mereka dulu yang perlu naturalisasikan terlebih dulu,” katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 1/22/2019

0 comments: