Lee Tuck Masih Menunggu FAM


KUALA TERENGGANU: Pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck masih setia menunggu berita gembira daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung cadangan badan induk bola sepak negara mendaftarnya sebagai pemain tempatan.

Pemain berusia 31 tahun itu yang kini menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC) juga menyatakan dia tidak akan berubah fikiran sebaliknya akan terus menanti 'lampu hijau' daripada FAM sekiranya masih berminat untuk mengambilnya sebagai pemain Harimau Malaya.

"Minat dan keinginan saya untuk menjadi sebahagian daripada pemain Malaysia tetap membara. Kini saya masih menunggu jawapan FAM kerana setakat ini belum ada perkhabaran yang boleh saya maklumkan.

"Bagaimanapun saya berharap dan meminta semuanya akan berjalan lancar sama ada daripada pihak FAM ataupun saya sendiri," kata Tuck kepada Sukan NSTP.

Sebelum ini FAM memaklumkan akan mengadakan perbincangan berhubung pendaftaran Tuck sebagai pemain tempatan dalam mesyuarat skuad kebangsaan bulan ini.

Menerusi kenyataan dalam media, FAM menyatakan status Tuck berbeza dengan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh kerana pemain skuad Penyu itu ada pertalian darah dengan Malaysia kerana neneknya berasal dari negara ini dan prosesnya lebih mudah.

Namun sehingga kini keputusan sama ada pemain kelahiran England itu bakal mengikut jejak pemain terdahulu yang sudah menjadi pemain tempatan seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies ( Pahang) dan Kiko Insa (Johor Darul Ta'zim) masih menjadi tanda tanya. - Berita Harian