Perlawanan Pertama Liga Super, Irfan Bakti Mahu Pemain...

Posted on Thursday, January 31, 2019 | 1/31/2019



"Jangan terlalu berhati-hati."

Itu arahan jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, kepada pasukannya menjelang aksi pembukaan Liga Super dengan PKNS FC di Kuala Terengganu, esok.

Menurutnya, mereka perlu mengelak dilanda sindrom perlawanan pertama memandangkan pemain-pemain lebih cenderung beraksi dengan selamat.

Kemenangan amat penting buat TFC yang berdepan empat pasukan teratas musim lalu dalam lima perlawanan pertama, dengan Pahang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak akan menanti mereka.

"Sudah pasti hanya kemenangan yang akan menyuntik moral untuk aksi berikutnya.

"Kami perlu memberikan yang terbaik sejak tiupan wisel permulaan lagi," kata Irfan.

Pengendali berpengalaman itu, bagaimanapun, berkata keputusan yang diraih ketika berdepan PKNS FC tidak boleh dijadikan penanda aras kemampuan pasukannya.

Sudah memadai bagi Irfan sekiranya kapten, Kipre Tchetche, dan rakan sepasukannya memperagakan persembahan seperti dalam sesi latihan.

"Kecuali Wan Ahmad Amirzafran (Wan Nadris) dan penjaga gol, Mohd Suffian (Rahman) yang cedera, semua pemain sudah bersedia," tambahnya. - Arena
Blog, Updated at: 1/31/2019

0 comments: