Ada berita gembira mengenai tol dalam masa terdekat – Muhyiddin

HULU LANGAT: Kerajaan dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan tol lebuh raya dalam tempoh terdekat.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberitahu, perkara itu sedang dibincangkan Kabinet.

“Kita baru-baru ini ada berbincang mengenai isu tol dan mungkin dalam sehari dua ini, akan ada kenyataan mengenai tol.

“Saya tidak boleh nak cakap lebih mengenai perkara itu, biarlah menteri berkaitan yang membuat pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Batu 26, Beranang di sini, malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, PH menerusi manifestonya berjanji akan menghapuskan tol secara berperingkat.

Sementara itu, Muhyiddin sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan PH mendukung prinsip Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam.

“Ada pihak mendakwa kerajaan PH tidak menjaga hak istimewa orang Melayu. Sekali lagi saya mengulangi bahawa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan orang Melayu tidak sesekali tergugat,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com