Bercerita Tentang Cerai, Apakah Jatuh Talak?


Soalan:
Apakah hukumnya seseorang yang bercerita tentang cerai, apakah jatuh talaknya?

Jawapan:
Perselisihan di dalam rumah tangga merupakan perkara yang menjadi asam garam dalam kehidupan. Namun setiap permasalahan hendaklah diselesaikan dengan cara yang terbaik. Penceraian adalah perkara yang tidak digalakkan di dalam Islam.

Nabi ﷺ bersabda:

أبْغض الْحَلال إِلَى الله الطَّلاق
“Perkara halal yang paling dibenci Allah Taala adalah talak.” [HR Abu Dawud (2178) dan Ibnu Majah (2018)]

Penceraian merupakan pilihan terakhir sekiranya usaha untuk membaik pulih hubungan suami isteri menemui jalan buntu. Itu pun sekiranya mempunyai sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak.

Lafaz Talak

Lafaz talak (cerai atau lafaz yang pembubaran perkahwinan) terbahagi kepada dua:
Pertama: Lafaz sorih (lafaz yang jelas)
Kedua: Lafaz kinayah (lafaz sindiran)

Huraian

Lafaz sorih adalah lafaz yang jelas, terang, tiada keraguan bahawa lafaz tersebut menunjuk kepada terurai ikatan perkahwinan seseorang tanpa memerlukan niat.

Lafaz Kinayah adalah lafaz sindiran yang tidak jelas sama ada lafaz tersebut diguna untuk talak (cerai atau lafaz yang membubarkan perkahwinan) dan boleh digunakan untuk suatu yang lain. Lafaz Kinayah tidak berlaku talak kecuali dengan niat talak.

(Rujukan Kitab Al-Iqna’ Hasyiah al Bujairimi ala’ al-Khatib. Juzuk 3. Hlm.273)

Adapun permasalahan bercerita tentang talak, maka ia tidak jatuh talak. Syeikh Zakariya Al-Ansori Rahimahullahu Taala menyatakan ada tiga golongan yang tidak jatuh talaknya iaitu:

  • Bercerita tentang talak orang lain
  • Penjelasan talak oleh seorang ahli fiqh
  • Panggilan kepada isteri yang bernama ‘Taliq’

Syeikh Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala menyatakan:

قوله: وقصد. أي قصد لفظه لمعناه أي قصد لفظه ومعناه؛ إذ المعتبر قصدهما ليخرج حكاية طلاق الغير، وتصوير الفقيه، والنداء بطالق لمن اسمها طالق
"...yang dianggap (dalam talak) adalah kesengajaan dalam kata dan makna. Tidak termasuk dari talak adalah bercerita tentang talak orang lain, dan penjelasan talak seorang ahli fiqih, dan panggilan dengan kata 'Taliq' (orang yang dicerai) bagi wanita yang bernama Taliq." (Rujukan kitab Al-Ghurar Al-Bahiyyah fi Al-Bahjah Al-Wardiyyah hlm. 4/246)

Kesimpulannya tidak jatuh talak kepada isterinya jika sesorang itu menceritakan berkaitan talak orang lain seperti mana yang dinyatakan di dalam soalan di atas.

Dinasihatkan bagi memperjelaskan lagi isu ini, tuan/puan boleh ke Pejabat Agama (Bahagian Nikah Kahwin, Cerai dan Rujuk) yang berdekatan tempat tinggal tuan untuk sesi penjelasan. Jika masih ada keraguan, langkah selanjutnya boleh dirujuk kes ini di Mahkamah Syariah.

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman dan penghayatan bersama.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media