BSH: Warga emas uzur pulang hampa

TEMERLOH – Selepas menerima surat yang memintanya mengemas kini maklumat Bantuan Sara Hidup (BSH), peneroka Felda Jengka 2 dekat sini, Mohd. Dulah, 77, meminta bantuan anaknya untuk membawa warga emas itu ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini.

Dalam keadaan bertongkat dan mengalami sakit akibat ketumbuhan di dalam kepala, Mohd. menggagahkan diri da­tang untuk mengemas kini data BSH.

Namun, setelah menempuh perjalanan sehala sejauh kira-kira 30 kilometer, Mohd. yang mengalami bengkak di bahagian kaki akibat banyak me­lakukan pergerakan dan sampai di pejabat LHDN pada pukul 2 petang kecewa kerana gagal mengemas kini maklumat BSH disebabkan isterinya tidak mempunyai akaun bank.

Mohd. berkata, dia amat terkilan dan kecewa apabila tidak dapat mengemas kini maklumat tersebut meman­dangkan surat memintanya berbuat demikian tidak me­nyatakan keperluan yang mesti dibawanya.

“Dari jauh pak cik datang untuk mendapat RM300 sehingga kaki pun bengkak. Sekali datang, habis RM80, mereka kata kena datang lagi bawa akaun bank isteri, jadi ia memang sa­ngat menyusahkan.

“Kalau orang muda mungkin tidak apa tetapi pak cik sudah tidak kuat dan bertongkat, kena tolak sikit pun sudah jatuh,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd., dia tiada pilihan lain dan memerlukan bantuan berkenaan memandangkan kehidupan pene­roka pada masa ini terlalu sukar dengan kejatuhan harga kelapa sawit.



Sumber: cempedakcheese.com