Calon PH tersalah cakap isu selesai masalah penduduk – Muhyiddin

HULU LANGAT – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui calon mereka terlepas cakap berhubung janji menyelesaikan masalah penduduk sehari selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Beliau berkata, ini kerana Muhammad Aiman begitu bersemangat dan ghairah untuk membantu rakyat.

Katanya, beliau sendiri sudah pun menasihatkan calon PH berkenaan mengenai terlajak kata tersebut selain boleh diperbetulkan.

“Ini menunjukkan anak muda ini bukan main ghairah sekali. Sampaikan hari ini bawa, esok selesai. Jadi, saya kata tak apa lah, itu sebagai terlanjur kata, boleh kita perbetulkan.

“Apa yang penting, beliau menunjukkan minat untuk membantu rakyat Semenyih dengan isu-isu yang telah saya sebutkan semalam dengan panjang lebar yg menjadi perhatian penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri sembang santai bersama penduduk Kampung Batu Tiga, Jalan Bangi, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu Muhammad Aiman yang berjanji bahawa jika PH menang PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini, keesokannya juga masalah penduduk akan cuba diselesaikan.

Muhammad Aiman membuat janji sedemikian di hadapan kira-kira 150 penduduk Batu 26, Beranang di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com