Cuma Masalah Komunikasi - Yusoff


KUALA LUMPUR: Kesilapan dalam penyampaian maklumat dikatakan punca pengendali Skuad Bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pemain Terengganu FC (TFCII) yang dipanggilnya bagi menyertai latihan pusat skuad B-22.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menjelaskan pasukan terbabit sebenarnya tidak pernah berdepan masalah untuk melepaskan mana-mana pemain mereka menyertai tugasan bersama skuad kebangsaan.

"Saya mendapat makluman daripada pihak TFCII yang menyatakan masalah itu lebih kepada kesilapan maklumat dan bukannya mereka enggan melepaskan pemain. Mungkin ketika itu interaksi adalah antara sesama jurulatih jadi mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan,” kata Yusoff.

"Jurulatih perlu menunggu keputusan daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sama ada boleh atau tidak untuk melepaskan pemain. Jadi pada saya, tidak timbul isu TFCII enggan melepaskan pemain namun ia hanya disebabkan sedikit salah faham yang berlaku.

"Kita melihat perlunya kemaskini untuk berhubung dengan pasukan negeri dan kita akan berhubung secara terus menerusi persatuan itu sendiri ataupun Setiausaha Agung untuk mendapatkan khidmat pemain yang diperlukan bagi skuad kebangsaan.

"Ini juga dapat meningkatkan lagi persefahaman antara pasukan dan juga FAM bagi menghasilkan keputusan yang lebih baik. Kita perlu meneruskan hubungan yang mesra seperti ini."

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Kim Swee tidak berpuas hati dengan tindakan jurulatih TFCII yang bertindak 'mengunci mulut' terhadap permintaannya untuk mendapatkan pemain bagi mengisi lopong dalam pasukan menjelang Kejauraan B-22 AFF di Kemboja bermula 17 Februari ini.

Usaha Kim Swee menelefon dan menghantar mesej kepada seorang jurulatih TFC II untuk mendapatkan persetujuan melepaskan pemain langsung tidak mendapat reaksi balas dan jelas menimbulkan rasa berang kepada pengendali dari Melaka itu. - Berita Harian