Dok Panas Lagi Boh...

Posted on Sunday, February 03, 2019 | 2/03/2019



KUALA TERENGGANU: Belum panas lagi. Ini rumusan buat pasukan Terengganu FC (TFC) bimbingan Irfan Bakti Abu Salim selepas anak buahnya gagal mencatat kemenangan pada aksi pertama Liga Super bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Pada perlawanan berkesudahan 1-1 itu, deretan peluang yang sepatutnya diterjemahkan dengan jaringan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin pemain TFC yang mendominasi permainan.

"Pada babak pertama perlawanan kita menguasai lapangan dan mempunyai banyak peluang terhidang tapi pemain tidak dapat menjaringkan gol, begitu juga peluang pada babak kedua yang berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

"Berdasarkan deretan peluang itu, ada tujuh peluang terbaik berbanding lawan hanya ada dua saja peluang keemasan, tapi mereka berjaya menghasilkan jaringan.

"Namun saya tidak boleh salahkan mana-mana pemain, cumanya penjaga gol harus dapat menyelamatkan bola jaringan lawan itu daripada menerjah jaring, bagaimanapun penjaga gol kami sudah beraksi dengan cemerlang pada malam ini," kata Irfan.

Pada perlawanan itu, pelawat terlebih dulu menggegar gawang tuan rumah melalui tandukan Nicholas Ryan Swirad sebelum penyerang lincah TFC, Malik Mat Ariff meledak gol penyamaan pada minit terakhir permainan.

Mengulas lanjut, Irfan memuji semangat juang tinggi diperagakan anak buahnya biarpun hampir dimalukan pasukan pelawat di tempat sendiri.

Beliau berkata, ketiadaan arkiteknya, Lee Tuck tidak begitu dirasai walaupun kadang kala tindak balas daripada pemain lain untuk melakukan serangan balas agak lambat sedikit berbanding pemain itu.

"Semangat tidak mudah menyerah kalah pemain harus dipuji walaupun hampir berputih mata, mereka bangkit dengan meledak jaringan pada minit terakhir perlawanan untuk mengikat lawan," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/03/2019

0 comments:

Loading...