Impian melihat kereta terbang di Malaysia bakal jadi realiti

KUALA LUMPUR – Impian rakyat Malaysia untuk melihat kereta terbang kini selangkah lebih hampir apabila demonstrasi kereta terbang pertama negara dijangka dibuat tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, sebuah kereta terbang tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.2 juta (USD 300,000).

Katanya, demonstrasi kereta terbang pertama itu dijangka akan diadakan di tasik Putrajaya.

“Ia berbentuk dron yang berkapasiti dua orang penumpang. Dengan demonstrasi ini, kita mahu menyedarkan usahawan Malaysia bahawa inilah industri yang kita tengok di masa depan. Mungkin satu hari nanti dron ini boleh digunakan untuk mengembala lembu dan macam-macam lagi.

“Tiada apa yang mustahil dan usahawan perlu bijak mengambil peluang daripada teknologi yang sentiasa berkembang. Diharapkan dengan ada pelancaran ini, akan menggalakkan pembangunan aeroangkasa serta industri dron negara,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Seminar Muamalat dan Tadbir Urus Terbaik Koperasi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com