Irfan Bakti Tuntut Pemain Beraksi Seperti “Anak Jantan”


KUALA TERENGGANU: Beraksi di laman sendiri bukan jaminan buat pemain Terengganu FC (TFC) untuk mudah menjinakkan Johor Darul Tazim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Sebaliknya pengendali skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim menuntut anak buahnya beraksi bagaikan `anak jantan’ jika mahu mencatat kemenangan pertama selepas mengharungi dua perlawanan terdahulu.

Selain itu, Irfan turut menuntut naib juara Piala Malaysia musim lalu itu tidak terlalu menghormati status juara bertahan Liga Super itu yang dibarisi majoritinya pemain bintang biarpun pemain TFC kini masih bergelut dengan prestasi tidak konsisten.

“Tiada elemen lain buat pemain kami untuk mengutip mata penuh bertemu pasukan terkuat dalam negara ini melainkan mereka perlu bangkit sebagai anak jantan serta fokus sepanjang aksi 90 minit jika tidak mahu dimalukan di laman sendiri.

“Kami sedar pertemuan dengan JDT nanti bakal berdepan laluan berduri, tapi kami tuntut pemain tidak cepat putus asa dan leka,” kata Irfan ketika ditemui pada program penaja GLE Centre Enterprise iaitu pengeluar kopi super jantan bersama pemain di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak petang semalam.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise, Mohd Zulkifli Harun menyampaikan kata-kata semangat selain menyerahkan kopi super jantan kepada pemain dan jurulatih serta menandatangani di kain rentang bagi menyuntik semangat mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) termasuk pertemuan dengan  JDT nanti.

Mengulas lanjut, Irfan menggesa anak buahnya melupakan episod malang dicalar Pahang Sabtu lalu sebaliknya perlu tampil dengan permainan sebenar sebagaimana musim lalu.

“Saya kenal pemain saya, mereka mampu bermain dengan baik, apatah lagi pernah tewaskan skuad JDT 1-0  musim lalu dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia.

“Bagaimanapun saya ingatkan pemain agar tidak terlalu menghormati lawan sebaliknya perlu lebih agresif mencipta gerakan untuk memburu jaringan awal bagi menyuntik semangat mereka.

“Semua pemain harus bijak memikul peranan masing-masing selain mengelak kesilapan individu yang bakal mengundang padah kerana lawan pantas dan bijak menghukum jika kita lalai,” kata Irfan yang mengharapkan benteng pertahanan mampu mengekang barisan serangan lawan dengan baik termasuk penjaga gol. - Berita Harian