Jangka hayat lelaki di Kelantan, Terengganu paling pendek?

SHAH ALAM – Purata jangka hayat lelaki di Kelantan dan Terengganu dianggarkan paling pendek di negara ini iaitu pada kadar 69.6 tahun berbanding purata kebangsaan 72.7 tahun bagi tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan statistik, purata jangka hayat paling tinggi ialah lelaki Sarawak yang boleh hidup sehingga berumur 75.3 tahun.

“Jangka hayat bagi wanita di Kelantan dan Terengganu pula menunjukkan purata yang hampir sama dengan negeri lain masing-masing dengan 75.8 tahun dan 75.7 tahun.

“Bagi jangka hayat wanita, Sarawak mencatatkan purata paling panjang usia iaitu 78.9 tahun, lebih tinggi berbanding purata kebangsaan 77.6 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, kadar kelahiran baharu bagi Kelantan dan Terengganu mencatatkan jumlah yang tinggi berbanding negeri lain dengan masing-masing mencatatkan 21.6 dan 23.1 kelahiran bagi setiap 1,000 populasi.

“Jumlah kelahiran paling tinggi dicatatkan di Wilayah Persekutan Putrajaya dengan 28.8 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk. Kadar kelahiran 2017 paling rendah pula dicatatkan di Perak iaitu 14.0 kelahiran baharu bagi setiap 1,000 populasi,” ujarnya.

Purata jangka hayat bagi negeri-negeri lain adalah Johor, 72.3 tahun bagi lelaki dan 77.4 tahun bagi wanita, Kedah (70.5 dan 76.4), Melaka (72.7 dan 77.6), Negeri Sembilan (72.9 dan 77.3), Pahang (71.0 dan 76.8), Perak (71.1 dan 77.4), Perlis (70.8 dan 75.4) dan Pulau Pinang (72.6 dan 78.6).

Sementara bagi Sabah purata jangka hayat adalah 73.9 tahun bagi lelaki dan 77.6 tahun bagi wanita, Selangor (73.5 dan 77.5) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (74.7 dan 78.4), namun tiada rekod jangka hayat dinyatakan bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kadar kelahiran kebangsaan sepanjang 2017 pula mencatat 58 kelahiran bagi setiap jam berbanding 19 kematian dicatatkan bagi tempoh yang sama. Ini menyaksikan secara keseluruhannya 508,658 kelahiran dicatatkan berbanding kadar kelahiran sebanyak 281,594 kelahiran setahun pada 1958,” katanya.

Dengan purata jangka hayat kebangsaan 72.7 tahun bagi lelaki dan 77.6 tahun bagi wanita, berbanding 63.1 tahun bagi lelaki dan 66 tahun bagi wanita pada tahun 1966.

Purata jangka hayat yang semakin meningkat itu akan menyaksikan populasi warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas mencecah 15.3 peratus menjelang 2030.



Sumber: cempedakcheese.com