Kanak-kanak melecur terkena sambal mendidih

Posted on Thursday, February 21, 2019 | 2/21/2019


KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan melecur di seluruh tubuhnya akibat terkena sambal popia basah yang mendidih di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 7 Februari lalu.

Ibu mangsa, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 43, memberitahu bahawa semasa kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, anaknya, Azalea Hani Abdul Rahim, 5, berada di rumah ibu saudaranya bersama sepupunya yang lain.

“Semasa hari kejadian, kakak saya sedang memasak sambal popia basah di dapurnya untuk dijual semasa cuti persekolahan pada minggu tersebut.

“Kakak meninggalkan sambal yang sedang dimasak di dalam periuk di dapur untuk solat Maghrib sebelum terdengar tangisan Azalea beberapa minit kemudian,” katanya di sini hari ini.

Zalida Syuhana menambah, ketika ditemui, keseluruhan badan anaknya dipenuhi sambal tersebut yang tumpah daripada periuk itu.

“Kakak kemudian menjirus air ke badan anak saya dan cuba menanggalkan baju yang melekat di tubuhnya.

“Selain Azalea, anak saudara lelaki saya yang berusia enam tahun turut terkena sambal itu menyebabkan dia melecur di kaki dan tangannya,” ujarnya.

Beliau berkata, Azalea telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya dan akibat tahap melecur yang semakin kritikal pada keesokan harinya, dia telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ujarnya, Azalea telah menjalani enam pembedahan untuk membuang kulit mati setakat hari ini.

“Pada Jumaat ini, dia perlu menjalani pembedahan ketujuh yang menelan kos kira-kira RM20,000.

“Saya buntu memikirkan bagaimana untuk mencari wang menampung perbelanjaan rawatannya kerana sepanjang berada di hospital, kosnya sudah mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Zalida boleh memberikannya di akaun bank Maybank 112183138233 atas nama Zalida Syuhana Ahmad Tamam. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 2/21/2019

0 comments:

Loading...