Lelaki Bangladesh mengaku bersalah toreh muka rakan sekerja

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan menoreh muka rakan sekerjanya awal bulan ini.

Tertuduh Md Saidul Islam, 21, mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Berdasarkan pertuduhan, pembantu kedai telefon bimbit itu telah mendatangkan kecederaan parah ke atas Nur Zawati Zainal Abidin, 24, di muka dengan bersenjatakan pisau.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan lif tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Damansara pada jam 6.30 petang, 7 Februari lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman itu dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda dan sebatan.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang juga rakan sekerjanya mengalami luka hampir lima sentimeter bermula dari bibir hingga ke pipi kanan selepas ditoreh tertuduh.



Sumber: cempedakcheese.com