Lim Guan Eng dan DAP menikus, amal politik sembelit

Posted on Thursday, February 21, 2019 | 2/21/2019


KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mahu pun DAP dikatakan menikus apabila dicabar supaya menyatakan pendirian menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jika Menteri Kewangan itu mengambil sikap berdiam diri, ia membuktikan kepada rakyat bahawa sememangnya sedang berlaku pergolakan yang amat besar dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sebalik semua gambaran indah yang diberikan pemimpin mereka.

“Kalau Guan Eng mahupun DAP menyokong Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15, sebenarnya amat mudah untuk mereka membuktikan taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir.

“Namun, mereka memilih untuk berdiam diri tidak menyahut cabaran Pas, sebaliknya menyuruh anak didiknya membuat cereka komedi tidak cukup masak,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Hishamuddin Abdul Karim,

Katanya, DAP tidak perlu menjadi ‘penunggang agama’ untuk menutup kesalahan, pengkhianatan atau keburukan yang dilakukan.

“Usah menggunakan hukum agama untuk kepentingan parti anda. Agama bukan untuk dijual beli seperti yang biasa dilakukan. Sebelum mengajar Pas mengenai hukum agama, cuba hadam pepatah Melayu, ‘Umpama tikus membaiki labu’. Sendiri jalan senget hendak ajar orang lain jalan tegak,” katanya.

Menurut Hishamuddin, lebih baik Guan Eng dan DAP membisikkan ke telinga Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Husam Musa dan aktiviti politik pro PH, Datuk S. Ambiga agar tampil membawa segala bukti kepada Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tuduhan Pas menerima RM90 juta dari UMNO.

Katanya, sebelum mengulas mengenai kaedah al-bayyinah ‘ala al-mudda’i, DAP sendiri patut amalkannya dengan mengemukakan bukti beserta tuduhan.

“Bagaimana hendak bicara hukum, sedangkan DAP sendiri menolak hukum dan tidak amalkan?

“Ternyata DAP memang ‘penunggang agama’, menggunakan hukum untuk kepentingan politik mereka sendiri,” ujarnya.

Kata beliau, DAP sebenarnya mengamalkan ‘politik sembelit’, apabila tahun 2013 cakap A dan tahun 2019 cakap B.

DAP katanya, tidak boleh dipercayai dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai matlamat poltik mereka.

“Dahulu tidak cukup siang, dengan malam sekali mereka berteriak Tun Dr Mahathir korup, salah guna kuasa dan zalim.

“Apa yang Lim Kit Siang, Guan Eng, Nga Kor Meng dan seluruh juak DAP tidak tuduh, cemuh dan keji terhadap Tun Dr Mahathir?

“Tidak cukup dengan itu, mereka mendesak SPRM menyiasat Tun Dr Mahathir, malah turut mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat segala tuduhan mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 2/21/2019

0 comments:

Loading...