Malaysia paling sesuai jadi contoh perpaduan kaum

PUTRAJAYA – Malaysia paling sesuai untuk menjadi negara contoh dari segi perpaduan kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waythamoorthy.

Beliau berkata persefahaman, kerjasama, tolak ansur dan saling menghormati antara pelbagai agama dan kepercayaan di negara ini kekal menjadi amalan penting dalam mewujudkan identiti Malaysia.

Bercakap kepada pemberita sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2019 (Malaysia) di sini hari ini, Waythamoorthy berkata nilai-nilai positif bukan sahaja perlu diamalkan pada “hari ini atau minggu ini sahaja” tetapi hendaklah diamalkan secara berterusan dalam kehidupan sehari-hari.

“Realitinya adalah kepelbagaian ialah sesuatu yang harus diraikan. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan keadaan ini, dan menghargai sertai memberi nilaian tinggi kepada hubungan yang kukuh ini,” kata beliau.

Waythamoorthy berkata resipi kepada keharmonian rakyat ialah perasaan muhibah yang ada pada diri setiap rakyat Malaysia untuk bersatu, menerima dan menghormati sensitiviti pelbagai budaya dan agama.

“Sejarah telah mengajar kita bahawa mana-mana negara yang gagal menguruskan ketegangan antara penganut agamanya akan menyaksikan rakyatnya sengsara akibat konflik yang berlaku, yang tidak menguntungkan siapa-siapa. Kita tidak boleh membiarkan keadaan itu berlaku di Malaysia,” tambah beliau.

Kira-kira 120 orang termasuk pemimpin agama dan para ilmuan menghadiri Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia itu bertemakan ‘Cintai Tuhan; Cintai Jiran’.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan minggu pertama bulan Februari sebagai Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia. – Bernama



Sumber: cempedakcheese.com