OKU terkilan tak layak dapat bantuan

Posted on Thursday, February 21, 2019 | 2/21/2019


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) terkilan sebaik mendapati dia tidak meme­nuhi kelayakan untuk memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019.

Ishak Awi, 59, dari Kampung Tanjung, Batu Rakit yang kudung kedua-dua belah kaki, pulang dengan rasa hampa sedangkan, sebelum ini dia berpeluang menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450.

Dia yang ditemani rakannya datang ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini bagi menyemak status kelayakan bagi permohonan kategori bujang.

“Saya datang ke sini untuk kepastian status kelayakan BSH. Sebelum ini, setiap tahun saya dapat BR1M sebanyak RM450. Semasa semakan di kaunter, saya didapati tidak layak kerana tiada tanggungan dan tidak berkeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ditanya mengenai kelayakannya, Ishak memaklumkan yang dia masih belum berusia 60 tahun untuk menerima BSH bagi kategori warga emas manakala permohonan BSH bagi kategori bujang hanya akan dibayar pada hujung Mac depan.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hartina Abdullah, 40, dari Kampung Padang Terap, Pulau Musang kecewa dengan prosedur permohonan BSH yang agak rumit berbanding BR1M.

“Dulu ibu tunggal tanpa tanggungan pun dapat tetapi sekarang dah banyak yang berubah.

“Ibu tunggal macam saya yang tiada tanggungan tak la­yak dapat BSH walaupun saya tiada pekerjaan tetap,” katanya yang menghidap asma.



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 2/21/2019

0 comments:

Loading...