PAS buat lawak jenaka – Mahfuz

TUMPAT: Dakwaan pemimpin PAS memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas alasan kononnya terdapat parti komponen Pakatan Harapan (PH) mahu menggulingkan Perdana Menteri, disifatkan sebagai ‘lawak jenaka’.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar, berkata tiada siapa yang mahu menggulingkan Dr Mahathir, memandangkan Perdana Menteri itu sudah mengeluarkan kenyataan berkali-kali untuk berundur dan menyerahkan jawatan berkenaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kenyataan pemimpin PAS yang tiba-tiba memberi sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri ketujuh itu adalah hanya mengalih perhatian dan tumpuan orang ramai daripada isu parti itu terima dana RM90 juta dan rakaman audio Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung perkara itu.

“Sangat pelik apabila tiba-tiba mereka (pemimpin PAS) menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. Sebelum ini, mereka mengatakan bahawa DAP yang mahu menggulingkan Dr Mahathir, sedangkan Perdana Menteri itu dikatakan ‘macai’ DAP.

“Kalau Dr Mahathir ini macai DAP, kenapa pula DAP mahu gulingkan Dr Mahathir. Sebab itu saya lihat tuduhan ini sebagai lawak jenaka yang bertujuan untuk mengalihkan tumpuan orang ramai daripada isu RM90 juta.

“Isu berkenaan sangat memberi kesan tidak baik kepada PAS memandangkan parti itu bimbang jika ada yang tidak mahu sertai parti atau keluar parti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C), di Kilang Keropok Mok Wan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin PAS yang baru-baru ini menyuarakan sokongan terhadap kepemimpinan Dr Mahathir atas alasan mahu menghalang parti komponen PH yang kononnya mahu menyingkirkan Perdana Menteri itu melalui undi tidak percaya.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dahulunya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menuduh Dr Mahathir akan mengancam masa depan negara jika menjadi Perdana Menteri.

“Namun hari ini, kamu (PAS) kata sokong orang yang kamu kata mengancam masa depan negara…ini satu benda sangat pelik. PAS dah cakap ‘flip-flop’ (tidak konsisten), sentiasa berubah sehingga ke peringkat pembohongan dengan bersandarkan kepada agama.

“Yang mana wajib berbohong dan halal berbohong dengan bersandarkan kepada agama bagi saya tidak wajar,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com