Pemuda PH pertahan agenda bina hospital di Semenyih

HULU LANGAT: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mempertahankan kenyataan calon gabungan itu yang akan meneruskan agenda membina hospital di Semenyih jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, kenyataan Muhammad Aiman Zainali, 30, membuktikan komitmennya memperjuangkan nasib rakyat, terutama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, perlu dilihat dengan positif kerana kenyataannya merujuk pada tiada keperluan (membina Hospital Semenyih) buat masa ini.

“Mungkin perancangan (membina hospital) akan dibuat pada masa depan, mungkin akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-8. Kenyataan Dr Dzulkefly bukan bermaksud sabotaj,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda PH, di sini, malam ini.

Muhammad Aiman sebelum ini menyatakan hasrat memperjuangkan pembinaan sebuah hospital di Semenyih bagi mengatasi isu kesesakan klinik kesihatan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly dalam maklum balasnya berkata, tiada keperluan untuk membina hospital itu buat masa ini, selain meminta Muhammad Aiman supaya lebih munasabah.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menyifatkan perancangan Muhammad Aiman itu menunjukkan beliau seorang yang mementingkan rakyat, malah kenyataannya turut diselitkan dengan hujah yang baik.



Sumber: cempedakcheese.com