PH mahu segera pinda Perlembagaan Persekutuan – Tun M

HULU LANGAT – Pakatan Harapan (PH) mahu lebih ramai wakil-wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi membolehkan parti itu meminda Perlembagaan Persekutuan.

Parti itu juga mahu membuat pelbagai pindaan lain selain berjanji tidak ‘mengusik’ institusi raja-raja Melayu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara perkara yang ingin dipinda kerajaan adalah had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Selain itu, katanya yang juga Pengerusi PH, pindaan juga bagi membolehkan kuasa Perdana Menteri dihadkan dan tempoh menjadi Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

“Kita bukan hendak pinda, nak buang raja, nak sekat raja apa semua, tidak. Yang itu kekal macam tu lah. kita tak boleh pinda yang tu.

“Perlembagaan mesti ada dua pertiga ahli dalam Dewan Rakyat. Sekarang ini, parti pemerintah saja tak cukup. Tak lama lagi cukuplah. Orang UMNO ini dia tidak ada jalan dah. Dia ingat, Kalau tak masuk PH, tak masuk parti PPBM, tak ada apa yang boleh buat.

“Dia (wakil-wakil rakyat BN) pun nak berhenti dah daripada UMNO. Bila ahli-ahli UMNO ini sudah sesuai dengan perjuangan PH, kita akan terima mereka dan jumlah kita pun bertambah dekat dengan dua pertiga. Kalau kita menang di sini (Semenyih), kita tambah lagi. Bagi menanglah, boleh tak?” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian Santai Dua Roda Semenyih (S2RS) di pekarangan tempat letak kereta Tesco, Taman Pelangi Semenyih di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Yang turut mengiringi Dr. Mahathir ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tambah Dr. Mahathir, apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berjaya dibuat, beliau berharap lebih ramai rakyat mengundi PH.

“Undi PH lah pasai kita yang buat (pindaan). Kita ni murah hati, kita nak bagi hak semua orang mengundi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com