Tiada perbincangan mengenai tol dengan kerajaan PH, kata wakil pihak konsesi

KUALA LUMPUR – Tiada perbincangan berhubung pengumuman berita gembira melibatkan tol khususnya di kawasan Semenyih, Hulu Langat, dekat sini yang akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

Pemangku Yang Dipertua, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan perkara tersebut sama ada melibatkan penurunan kadar tol sedia ada ataupun pemansuhan tol di kawasan itu.

“Kita tidak tahu, dan kita juga tidak dipanggil untuk berbincang mengenai perkara itu. Jadi kita perlu tunggu apakah pengumuman tersebut dan bagaimana bentuknya.

“Buat masa sekarang ini, semua industri lebuh raya Malaysia menjurus kepada kerjasama antara pihak konsultan lantikan kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai hala tuju masa depan industri ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kerajaan membayangkan satu berita gembira mengenai tol akan diumumkan kepada rakyat dalam tempoh terdekat. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com