Adakah Membunuh Cicak Dibenarkan Syarak?


Soalan:
Mohon pencerahan kesahihan hadis tentang membunuh cicak yang rasanya dari dulu hingga sekarang menjadi pegangan kebanyakan kita bahawa adalah sunat membunuh cicak.

Jawapan:

Pengenalan

(الوزغة) bermaksud cicak dan dikenali sebagai binatang yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan binatang fawahish (perosak). (Lihat: Hayat al-Hayawan al-Kubra, 2/544)

Dalil Disyariat Membunuh Cicak

Cicak merupakan binatang yang boleh dibunuh dan kerana termasuk di dalam binatang Fawasiq (perosak). Terdapat pelbagai hadis SAW yang memerintahkan supaya membunuh cicak di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik RAnha:

‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم‏‏‏
Sesungguhnya Rasullullah SAW memerintahkan supaya membunuh cicak. Dan Baginda bersabda: “Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS.” [Sahih al-Bukhari (3359)]

Terdapat juga hadis yang lain menceritakan berkenaan perintah membunuh cicak, ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqaz:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَسَمَّاهُ فُوَيْسِقًا
“Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak, Dan disebutnya sebagai Fuwaisiq (binatang kecil yang mendatangkan kerosakan).” [Hadis riwayat Muslim (2238)]

Selain itu ganjaran bagi siapa yang membunuh cicak seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ قَتَلَ وَزَغَةً فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً وَمَنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّانِيَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً لِدُونِ الأُولَى وَإِنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّالِثَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً لِدُونِ الثَّانِيَةِ
“Barangsiapa yang membunuh cicak dengan pukulan yang pertama, baginya sekian pahala, barangsiapa yang membunuhnya pada pukulan kedua, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan pertama, barangsiapa yang membunuhnya pada pukulan ketiga, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan kedua.” [Hadis riwayat Muslim (2240)]

Selain itu terdapat juga hadis riwayat yang lain daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

‏ ‏ مَنْ قَتَلَ وَزَغًا فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ كُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَفِي الثَّانِيَةِ دُونَ ذَلِكَ وَفِي الثَّالِثَةِ دُونَ ذَلِكَ
“Barangsiapa yang membunuh cicak dengan satu pukulan diganjarkan kepadanya seratus kebaikan, dan sekiranya pada pukulan kedua, ganjarannya kurang daripada yang pertama dan sekiranya pada pukulan ketiga, ganjarannya kurang daripada yang kedua.” [Hadis riwayat Muslim (2240)]

Imam Nawawi dalam mensyarakan hadis ini menyatakan: “Di dalam riwayat yang lain menyebut sebanyak tujuh puluh ganjaran sekiranya membunuhnya dengan satu pukulan dan ini disebabkan kerana tidak menyeksanya. Cicak dikelaskan dalam golongan haiwan perosak kerana terdapat ciri-ciri daripada golongan haiwan Fawahish al-Khams (lima haiwan perosak) yang mendatangkan kemudharatan seperti kala jengking dan tikus.”

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas perintah membunuh cicak merupakan satu perkara yang disunatkan. Ini seperti yang dinyatakan di dalam Mausua’h Fiqhiyah di bawah tajuk sunat membunuh binatang perosak dengan menyatakan sunat membunuh cicak walaupun dalam keadaan ia tidak memberi sebarang kerosakan ini seperti yang di perintahkan Nabi SAW dalam hadis yang di atas. (Lihat: al-Muasua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/282)

Adapun cara membunuhnya lebih utama dengan memukulnya sekali sahaja supaya mengurangkan keseksaannya. Imam Izzuddin Ibnu Salam menyatakan ini termasuk di dalam sifat ihsan kepada binatang (Lihat: Hayat al-Hayawan al-Kubra, hlm 923).

Ini seperti yang di ajar Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Ya’la bin A’us RA, sabda Nabi SAW:

إِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ
“Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik.” [Hadis Riwayat Muslim (1955)]

Wallahualam.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Oh! Media