Bersih selar tindakan PH edar kupon makanan percuma di Rantau

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng yang memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Walaupun tempoh berkempen belum dimulakan namun Bersih 2.0 berpandangan tindakan itu boleh dianggap sebagai kesalahan dalam pilihan raya.

Dalam kenyataan hari ini, Bersih 2.0 turut mengingatkan tindakan mempengaruhi seseorang mengundi ketika pilihan raya tidak boleh dilakukan.

“Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menunjukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, bekalan, wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.

“Seksyen 8 dan seksyen lain dalam akta sama seperti pengembangan perasaan jahat, permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah dimulakan dengan frasa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tidak boleh dilakukan,” katanya.

Bersih 2.0 menambah, program pemberian kupon makanan percuma itu turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rantau, Dr. S. Streram.

“Ahli Parlimen Miri itu memberitahu beliau melakukan (pemberian kupon) kerana permintaan Streram.

“Kami berpandangan tindakan itu merupakan kesalahan pilihan raya walau bagaimanapun tertakluk kepada badan penguat kuasa yang berkaitan untuk bertindak terhadap tuduhan ini.

“Juga tertakluk kepada mahkamah untuk mentafsirkan undang-undang pilihan raya dan kami menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua pihak patuh kepada seksyen tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com