Bilangan mangsa pencemaran Pasir Gudang terus meningkat setiap hari

PASIR GUDANG – Jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan berikutan pencemaran udara akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, di sini meningkat lebih 742 orang sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata secara keseluruhan seramai 1,164 mangsa dirawat di dua medic base di Taman Pasir Putih dan Taman Desa Mawar di sini, sejak Isnin lalu, dengan 217 dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sehingga jam 8 malam semalam.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat kepada 1,906 sehingga tengah hari tadi dengan 276 orang dihantar ke HSI.

Katanya, selain itu, seramai 869 mangsa pula mendapatkan rawatan sendiri di pusat perubatan swasta, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa sebanyak 2,775 orang.

“Sebanyak 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga sudah diarahkan tutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 426 petugas daripada 19 jabatan dan agensi kerajaan bertugas bagi memastikan kawalan insiden berada pada tahap terbaik.



Sumber: cempedakcheese.com