Bomba sahkan wujud gas sianada dalam pencemaran toksik di Sungai Kim Kim

PASIR GUDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesahkan kehadiran gas hidrogen sianida terkandung dalam udara tercemar akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, dekat sini pada 7 Mac lalu.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, hidrogen sianida adalah antara gas berbahaya daripada 15 gas yang dikesan pihaknya ketika melakukan pencerapan kualiti udara.

“Sepanjang operasi dijalankan, bacaan tertinggi yang direkodkan ialah 4.5ppm di Taman Tanjung Puteri pada Rabu lalu. Namun bacaan itu hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga.

“Dalam bacaan tersebut, kita mengesan ia mengandungi 15 jenis gas dan antara gas berbahaya yang dikesan ialah hidrogen sianida,” katanya pada sidang akhbar pusat rawatan awal Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam akaun Twitter peribadinya mendakwa wujud elemen sianida dalam tubuh sebilangan mangsa terjejas.

Yahaya berkata, ada beberapa kawasan dibuat pengungsian selepas mencatatkan bacaan kualiti udara yang tinggi namun ia tidak merebak ke kawasan lain.

Katanya, pihaknya mengklasifikasikan kawasan dalam radius 1.5 kilometer dari kawasan sungai tercemar kekal sebagai zon merah walaupun bacaan berada di bawah paras berjaga-jaga. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com